Politik

Pas tidak perlu ceramah jika media adil

11 Zulhijjah 1431H.

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 18 Nov: PAS tidak akan bergelut lagi mengatur ceramah menerangkan isu kepada rakyat sekiranya media di Malaysia bersikap adil, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Ketika ditemui selepas menyampaikan khutbah Aidiladha di Markaz Tarbiah PAS Negeri Pulau Pinang di Pongsu Seribu, semalam beliau menyokong penuh tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tidak membenarkan media pro Umno BN membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah

Beliau menambah, isu banjir tidak sepatutnya dijadikan isu politik sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan negeri membantu mangsa banjir.

"Jika media di Malaysia bersikap adil dengan memberi ruang untuk PAS dan parti dalam Pakatan Rakyat bersuara di mana-mana siaran sama ada cetak atau elektronik, saya yakin PAS tidak payah lagi berceramah di sana ke mari malahan boleh menumpukan pada gerakan kebajikan dan dakwah," jelasnya.

Ini tidak, katanya media bersikap seperti 'jakun' membantu kerajaan BN yang nyata zalim serta takut kepada erti kekalahan sebenar.

Justeru itu, ujarnya mereka sanggup menggadai prinsip dan etika kewartawanan semata-mata mahu mengikut telunjuk kepimpinan yang telah terbukti rasuah dan melakukan penyelewengan.

"Mereka tetap jakun dari dulu sehingga hari ini, tidak sebagaimana media di Indonesia, Thailand dan Vietnam bakal mengikut rentak negara berkenaan," tegasnya.

Sementara itu, semasa berkhutbah beliau berpesan kepada umat Islam supaya memperhambakan diri kepada Allah Taala dengan melaksanakan semua suruhan sama ada ianya masuk akal atau sebaliknya.

Menurutnya, Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat mimpi untuk menyembelih anaknya Ismail a.s terus sahaja melaksanakan arahan tersebut biarpun ianya tidak lojik bagi manusia yang jahil.

"Anak yang sedang membesar mana boleh dikorbankan, mesti ada perasaan sayang dan kasih. Tetapi, kerana ianya suruhan Allah SWT kena dituruti," jelasnya dalam program Korban Perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Lima ekor lembu dikorbankan dan dibahagikan kepada fakir miskin di cawangan-cawangan.



PKR Hilang Punca, Buka Pekung Di Dada – Ahmad Maslan

Oleh: MOHD FAIZAL MOHD SALLEH

KUALA LUMPUR, 18 Nov- Pada dasarnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kehilangan sokongan anggotanya kerana jumlah yang keluar mengundi bagi memilih kepimpinan parti itu sangat rendah, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.
“Ahli-ahli PKR sudah kurang semangat juang bila cuma 8% lebih sahaja ahlinya yang terlibat mengundi sewaktu pemilihan penting mereka. Konon disebut ada 300-400 ribu ahli di seluruh negara. Semangat semakin luntur kerana pelbagai masalah, parti jalanan yang dulunya sibuk dengan reformasi sekarang berada dalam era “kemeruduman.
Tetapi UMNO perlu ada kekuatan sendiri, bukan menumpang dari kelemahan PKR. Kekuatan UMNO kerana Presiden dan Perdana Menteri mendahulukan rakyat dan adil kepada semua. Yang amalkan keadilan untuk semua bukan PKR tapi UMNO dan BN,” ujarnya selepas majlis korban di Masjid Negara di sini hari ini
Tambahnya, perbuatan Anwar memburukkan negara di luar hanyalah satu kaedahdiversion beliau, mengalih pandangan masyarakat terhadap PKR yang penuh masalah.
Perbuatan itu suatu usaha melarikan diri daripada caca merba yang paling memeningkan kepala beliau setakat ini, bila penentangan orang dalam PKR sendiri.
“Saya amat terperanjat, ia ibarat perbuatan membongkar pekung di dada. Anwar tidak mampu menghadapinya dan sebagaimana sebelum ini, jika ada masalah, dia akan cabut ke luar negara atau sengaja menimbulkan isu lain,” tambahnya
Beliau juga berkata PKR kini dilihat seperti kehilangan sokongan anggotanya kerana jumlah yang keluar mengundi bagi memilih kepimpinan parti itu sangat rendah.
Katanya, pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti sepatutnya mendapat sambutan yang hangat daripada anggota, seperti yang berlaku dalam Umno, di mana kehadiran ahli untuk memilih kepimpinan di peringkat cawanganpun sangat tinggi.
“Saya pun terperanjat kerana menjangkakan ramai anggota parti itu akan keluar mengundi untuk memilih barisan kepimpinan mereka,” katanya .
Beliau berkata, anggota Umno bagaimanapun tidak seharus merasa selesa dalam usaha memenangi hati rakyat akibat masalah dalaman yang sedang dihadapi PKR sekarang.
“Anggota Umno perlu terus menerus berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya. – Media UMNO